KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yakin Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dapat memainkan peranan serta fungsinya sebagai jambatan yang menjadi nadi perhubungan antara kerajaan dan rakyat.
Katanya ini sesuai dengan matlamat J-KOM bagi mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat selain mendengar suara dan maklum balas daripada mereka.
“Di zaman kemajuan teknologi maklumat ini kita tidak dapat lari dari pelbagai isu dan proganda yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada dimedia sosial, portal dan lain-lain media dalam talian…
“Mereka sengaja memutarbelitkan fakta dan jika tidak dibendung ianya boleh merosakan pemikiran rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat dari rombongan J-KOM pusat di pejabat beliau pagi tadi.
Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pengarah J-KOM Dato Dr Zuraidi Ishak itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunkasi Komuniti) Dr Al Azharri Siddiq Kamunri, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Arfizan Ramli, Ketua Unit Perhubungan Awam Siti Mahmudah Sudiman dan Pegawai Khas Ketua Pengarah Pendidikan J-KOM Zulkifli Othman.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, kaedah yang digunakan J-KOM ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan penghakupayaan komuniti.
“Selain menyalurkan maklumat dari kerajaan kepada rakyat, kita juga berharap J-KOM dapat menyampaikan maklumat dari akar umbi mengenai isu semasa terutamanya dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat,” tambah Bung.
Beliau juga memaklumkan daripada taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Pengarah semasa perjumpaan tersebut, fungsi J-KOM berbeza dengan Jabatan Penerangan (JAPEN).
Katanya, fungsi J-KOM juga tidak bersifat bertindih dengan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.
Bung juga menangkis dakwaan pihak pembangkang yang J-KOM sebagai ejen penyebar propaganda dipergunakan untuk kepentingan politik.
“Ini hanya prespesi mereka (pembangkang). Perlu diingat, Ketua Pengarah, Timbalan serta pegawai-pegawainya yang lain bukanlah dilantik dari kalangan orang politik dan proses lantikan mengikut Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA)…
“Ianya dikombinasi golongan profesional dan pegawai takbir yang baik dan bersahsiah tinggi,” jelas Bung.
Semasa perjumpaan tersebut, Ketua Pengarah J-KOM Dato Dr Zuraidi Ishak memaklumkan J-KOM akan membuka pejabatnya di Sabah dimana keutamaan diberikan kepada anak-anak Sabah yang berkalayakan sebagai Pengarah selain menampatlan pegawai- pegawai J-KOM di seluruh daerah mengikut kawasan Parlimen.