Jabatan Imigresen Adakan Hari Bertemu Pelanggan Mulai 18 Julai Ini

Jabatan Imigresen Adakan Hari Bertemu Pelanggan Mulai 18 Julai Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan JIM selama LIMA (5) hari bermula Isnin ini sempena sambutan Hari Imigresen 2022.

Jabatan Imigresen dalam kenyataan yang dipetik Bernama semalam (15 Julai) menjemput orang ramai untuk hadir ke program yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah pertanyaan, semakan dan khidmat nasihat semua urusan imigresen termasuk semakan senarai hitam, kaunter permohonan dan pengeluaran pasport, kaunter visa, pas dan permit, kaunter pekerja asing, kaunter khidmat ekspatriat, kaunter penguatkuasaan dan kaunter
keselamatan dan pasport,” menurut kenyataan itu.

Selain itu turut dibuka ialah perkhidmatan kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kaunter Tabung Haji, kaunter CUEPACS, gerai jualan barangan cenderahati Imigresen KOPRIMA, barangan Kelab Bolasepak Imigresen dan lain-lain.

“Pengunjung juga berpeluang untuk mendapat cenderahati eksklusif JIM dengan membuat perkongsian hantaran di media sosial poster hebahan Hari Bertemu Pelanggan JIM dan menggunakan #HBPJIM2022,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan terkini berkenaan Hari Bertemu pelanggan itu melalui akaun media sosial rasmi Jabatan Imigresen.