Jadikan Perjuangan Tuntut Kemerdekaan Inspirasi Lawan COVID-19

Jadikan Perjuangan Tuntut Kemerdekaan Inspirasi Lawan COVID-19

0
SHARE
Abu Bakar menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah Abdul Manap dalam majlis ringkas di pejabat daerah Kinabatangan...

KINABATANGAN, SABAH – Semua anggota masyarakat khususnya di kawasan Kinabatangan disaran menghidupkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik walaupun negara masih berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penularan COVID-19 sejak lebih setahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan normal masyarakat naum tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk melupakan detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, semangat pemimpin terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan perlu dicontohi dan dijadikan inspirasi untuk melawan COVID-19, musuh yang tidak dapat dilihat dan amat berbahaya ketika ini.

“Pelbagai cara untuk kita menzahirkan semangat patriotik kepada negara antaranya mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing tapi yang paling penting ketika negara berhadapan pandemik COVID-19 ialah mendisplinkan diri dan bersoladiriti menanganinya dengan cara mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Mewakili Bung, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag Abu Bakar Gapar mengagih-agihkan jalur gemilang kepada penduduk di sini, kelmarin.

Abu Bakar bersama kakitangan UPPM Lamag mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada pemandu di kawasan Kinabatangan…

Turut hadir, Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap And Rahim bersama kakitangan (UPPM) Lamag.

Bung yang juga Wakil Rakyat Lamag berkata walau masih berdepan dengan pandemik COVID-19 ini, semangat menyambut Hari Kemerdekaan itu wajar diteruskan kerana itu boleh menyatukan hati seluruh anggota masyarakat.

“Kita boleh berselisih faham dalam banyak perkara, berdepan dengan pelbagai ujian dan pandemik, tetapi soal kesetiaan kepada negara, soal kemerdekaan negara kita adalah sesuatu yang amat penting,” katanya.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, beberapa buah kampung di kawasan tersebut telah pun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) untuk mengekang penularan virus COVID-19.

“Wakil Rakyat kawasan ini sentiasa cakna masalah ini dan bantuan sewajarnya terutamanya bakul makanan turut diagih-agihkan kepada penduduk yang terlibat,” jelasnya.