JAKARTA, INDONESIA – “Jangan kentut di hadapan isteri demi menjaga hati mereka,” demikian kata nasihat Ustaz Abdul Somad (UAS) buat semua para suami di dunia ini.
Memetik laporan pada portal berita Suara.com, penceramah terkenal dan berpengaruh di Indonesia itu menjelaskan perbuatan kentut di hadapan isteri tidak diklasifikasikan sebagai haram, namun tidak begitu sopan lebih-lebih lagi di hadapan isteri.
“Rasulullah S.A.W tidak pernah melakukan hal-hal yang menjengkelkan Aisyah seperti memakan sejenis makanan iaitu maghafir yang mempunyai bau busuk kerana isteri baginda tidak menyenanginya…
“Jadi, baginda bersabda tidak akan lagi memakan maghafir dan mengharamkan maghafir untuk dirinya sendiri,”jelas beliau.
UAS turut menjelaskan bahawa para suami perlu sentiasa melakukan perkara yang menyenangkan hati isteri sebagai salah satu rukun rumah tangga bahagia.
“Rasulullah sentiasa memanggil Aisyah dengan nama panggilan mesra. Kalau kita tidak mampu begitu, jangan sampa kentut di depan isteri,” katanya lagi.