JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa kelab Harimau Selatan sejak tahun 2019 sudah mula berkolaborasi dengan seorang doktor pakar di Barcelona, demikian menurutnya dalam satu rancangan temu bual di rancangan bola@mamak baru-baru ini.
“Dr. Juan Boffa ialah seorang pakar dalam bidang perubatan sukan dan pendidikan jasmani serta mempunyai kepakaran dalam bidang traumatologi bola sepak…
“Dr. Boffa ini akan merawat dan membimbing mana-mana pemain di JDT yang mengalami kecederaan serius.
“Setiap pemain yang ada injury, saya akan hantar ke Barcelona untuk mereka buat treatment mereka di sana,” jelas TMJ.
Kecederaan yang menimpa Muhammad Ramadhan Saifullah pada sesi latihan skuad JDT bulan lalu telah memaksa khidmat pemain muda berpotensi ini dilupakan buat sementara waktu.
Ramadhan ketika ini disahkan telah menjalani pembedahan di Barcelona Sepanyol, dengan bimbingan Dr Juan Manuel Boffa.
Ketika Tunku Ismail ditanya berkenaan kebajikan pemain, TMJ menjelaskan bahawa JDT merupakan sebuah kelab yang sangat mengambil berat isu kebajikan pemain.
“Mana-mana pemain yang cedera dan perlukan rawatan yang lebih rapi akan di hantar ke Barcelona…
“Ramadhan ada injury dan kelab ada satu perjanjian bersama Dr. Boffa iaitu doktor dan konsultan untuk kelab Manchester City dan Barcelona. Jadi saya ada kolaborasi dengan beliau dan saya menghantar Ramadhan ke Barcelona untuk membuat pembedahan,” kata TMJ.
Sebelum ini, JDT juga pernah menghantar beberapa orang pemain lain seperti Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa dan S.Kunanlan untuk mendapatkan rawatan di sana. Walau bagaimanapun, menurut TMJ, Ramadhan akan kembali pulih dalam masa terdekat.
“Dan insyaAllah kita akan lihat Ramadhan back in action tahun hadapan.”