KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah membongkar penyeludupan dadah sintetik keluar negara bernilai lebih setengah juta ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Selasa lalu.
Pengarah JKDM Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, 9.2 kilogram dadah jenis syabu dan 3.1 kilogram dadah jenis ketamine disorok di dalam 23 kotak polisterin berisi ikan hidup itu ditemui pada kira-kira jam 5 petang.
Anggaran nilai dadah tersebut masing-masing RM 331, 965 dan RM 167, 070 dengan jumlah keseluruhan RM 501,026.
“Siasatan masih dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, yang terlibat akan dihukum gantung atau dipenjara seumur hidup,” katanya kepada wartawan hari ini.
Tiada tangkapan yang dibuat berhubung kes ini namun beliau berkata ianya merupakan rampasan kedua menggunakan modus operandi yang sama pada 29 Ogos lalu yang melihat penangkapan seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun.
“Siasatan tengah dijalankan ke atas ejen-ejen yang terlibat dan jika dadah dihasilkan di dalam negara ini ataupun juga diseludup daripada negara luar…
“Kita sedang cuba mencari hubungan di antara dua kes ini. Bagi kami masa dan kesemua elemen ini akan didedahkan,” katanya apabila ditanya tentang destinasi bungkusan itu.
Yang pasti, kata Abdullah, adalah bungkusan itu diproses dalam negeri kerana kandungan ikan segar.
“Ini antara modus operandi penyeludupan yang terbaru. Penyeludup dadah tidak akan berputus asa dan begitu juga dengan pihak JKDM…
“Kita akan pastikan Sabah dan negara bebas dari ancaman dadah dan tidak akan berhenti menanganinya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Abdullah menyeru kepada orang awam yang memiliki maklumat mengenai aktiviti dadah untuk tampil kepada pihak berkuasa agar negara dapat bebas dari najis dadah.