KOTA KINABALU: Seorang jurujual motosikal maut dalam insiden langgar lari ketika lampu isyarat merah di Jalan Lintas – Iramanis pada malam Isnin.
Mohd Zainuddin Mohd Hazwan Taya dirempuh dari belakang oleh seorang pemandu lori dalam kejadian 11.30 malam itu.
Lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Warisan di Inanam menaiki Suzuki GSX-R150 miliknya.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan Kalsom Idris berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa terbuang dari motosikal dan kenderaan itu diheret sekurang-kurangnya tiga meter.
“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala di tempat kejadian menurut doktor Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di lokasi,” katanya.
Polis berjaya mengesan nombor plat lori, SS2976Y, yang ditinggalkan di tempat kejadian.
“Ia dikesan ke sebuah bengkel lori di Donggongon, Penampang dan kenderaan itu telah pun disita untuk siasatan lanjut.
“Suspek masih sedang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan memanggil saksi untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Farhana Fadzil di talian 013-8090954.
Menurut sumber, pemandu lori merupakan warga asing dipercayai melarikan diri ke Kalabakan susulan kejadian.
Kalsom menggesa pengguna jalan raya supaya berhati-hati terutamanya semasa musim perayaan di mana kemalangan lebih kerap berlaku.
“Kajian menunjukkan kemalangan jalan raya berpunca dari gagal mematuhi peraturan jalan raya dan melebihi had laju.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.