Kanak-Kanak 2 Tahun Meninggal Dunia Akibat Tertembak Diri Sendiri

Kanak-Kanak 2 Tahun Meninggal Dunia Akibat Tertembak Diri Sendiri

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TEXAS, AMERIKA SYARIKAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sini meninggal dunia selepas menembak dirinya dengan senjata api.

Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak malang itu membunuh diri dengan tidak sengaja selepas menggunakan senjata api yang ditemuinya dalam beg sandang milik ahli keluarganya.

Pihak Polis turut mengesahkan bahawa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat parah di kepala.

AFP melaporkan pemilik pistol terbabit melarikan diri bersama senjata api berkenaan setelah mendengar tembakan tidak sengaja itu berlaku, namun akhirnya pulang semula dan dia telah berjaya diberkas pihak Polis.

Suspek yang berusia 21 tahun itu turut didakwa atas kecuaian yang dilakukannya sehingga menjadi punca kematian kanak-kanak terbabit.

Menurut pertubuhan Everytown For Gun Safety, 765 orang terbunuh dan lebih 1,500 lagi cedera pada 2015 hingga 2020 dalam kejadian ‘tembakan tidak disengajakan’ oleh kanak-kanak di AS.

Sekurang-kurangnya 111 orang terkorban pada tahun ini, dengan organisasi itu menggelarkan insiden sebagai ‘epidemik keganasan senjata yang memilukan’.

“Setiap tahun, ratusan kanak-kanak di AS mempunyai akses kepada senjata api yang diletakkan dalam almari dan laci, dalam beg atau yang dibiarkan terdedah…

“Kebiasaan tragik ini menyebabkan kanak-kanak yang menemui senjata cenderung tertembak diri sendiri atau orang lain,” kata kumpulan itu.

Perlembagaan AS memberi hak kepada rakyatnya untuk memiliki senjata api dengan 30 peratus (30%) penduduk dewasa negara itu memiliki sekurang-kurangnya satu senjata api.