Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Perigi Disahkan Meninggal Dunia

Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Perigi Disahkan Meninggal Dunia

0
SHARE
Penduduk berkumpul ketika penyelamat cuba menyelamatkan budak yang terperangkap itu... (Sumber Foto AFP)

KANDAHAR, AFGHANISTAN – Seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun disahkan meninggal dunia semalam selepas terperangkap di dalam perigi selama 70 jam, lapor Xin Hua.

Mayat Haidar ditemui di dalam sebuah perigi sedalam lebih 20 meter di perkampungan Shokak, Zabul di Afghanistan…

Haidar terperangkap dalam perigi itu sejak Selasa lalu dan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menghampirinya susulan halangan batu besar.

Terdahulu, Jurucakap Polis Zabul, Zabiullah Jawhar berkata, pasukan penyelamat bertugas sepanjang malam dan batu besar menghalang mereka daripada terus menggali.

“Kami bimbang debu pasir jatuh menimpa budak itu (Haidar) dan boleh menyebabkan kehilangannya, jadi kami sangat berhati-hati,” katanya.

Datuk kepada kanak-kanak itu berkata, Haidar terjatuh ketika cuba membantu penduduk menggali lubang di kampung itu yang menghadapi kemarau.

Sumber berkata, Haidar jatuh di kedalaman 25 meter tetapi berjaya ditarik dengan tali sehingga 10 meter sebelum tersangkut.

Difahamkan, Haidar tersepit dalam perigi namun masih dapat menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya…

Kejadian menimpa Haidar berlaku kira-kira dua minggu selepas tragedi Rayan, iaitu kanak-kanak lima tahun yang terjatuh dalam perigi berkedalaman 32 meter di Maghribi.

Rayan bagaimanapun meninggal dunia pada 6 Februari lalu, selepas diselamatkan pada hari kelima dia terperangkap. Pemergian Rayan diratapi seluruh dunia.