NEW DELHI, INDIA – Pihak Kastam di sini berjaya menggagalkan usaha seorang warga tempatan yang ingin menyeludup emas ke luar negara.
Memetik laporan AFP, lelaki warga India berkenaan sanggup menyumbat hampir satu kilogram (kg) emas berbentuk pes ke dalam duburnya.
Lelaki berkenaan yang dipercayai ‘Keldai emas’ ditahan Isnin lalu, selepas seorang pegawai keselamatan melihat ‘objek mirip logam dalam rongga badan’ suspek di lapangan terbang Imphal di timur laut Manipur.
Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat dalam satu kenyataan memaklumkan lelaki itu yang mahu ke New Delhi telah ditahan untuk soal siasat dan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan.
Kemudiannya, Pegawai bertugas membawanya ke bilik pemeriksaan perubatan, di mana keputusan imbasan X-ray di bahagian bawah badannya menunjukkan empat kapsul berisi pes emas seberat lebih 900 gram, bernilai kira-kira Rp4.2 juta (RM2.4 juta).
Permintaan terhadap emas memuncak dalam tempoh beberapa bulan menjelang hujung tahun di India, berikutan musim perkahwinan dan persiapan untuk perayaan kaum Hindu yang terbesar iaitu Deepavali dan Dussehra.
Pakar berkata, Manipur yang bersempadan dengan Bangladesh menjadi laluan utama penyeludupan jongkong emas ke India.
Untuk rekod, India adalah pengguna emas kedua terbesar di dunia dan pakar berkata penyeludupan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menukar logam berharga itu menjadi bentuk pes.
Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa menemukan jongkong emas yang dijahit pada pakaian atau tersembunyi di rongga mulut, selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk menyembunyikannya.
Pada Ogos lalu, Pusat Dasar Emas India berkata dianggarkan 300 tan emas diseludup ke negara itu setiap tahun, yang membawa kerugian besar dari segi hasil pendapatan cukai kepada kerajaan.