KOTA KINABALU, SABAH – Langkah syarikat penerbangan tempatan dalam menaikan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan sebaliknya adalah tidak wajar.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Jelani Hamdan berkata, tindakan meraih keuntungan pada musim cuti itu juga tidak bertimbang rasa.
Katanya, harga tiket terkini AirAsia, Malaysia Airlines, mahupun Malindo mencecah RM1,300 rata-rata melepas ambang RM700.
“STB memantau dan mendapati harga dinaikkan secara mendadak, tiada turun…
“Walhal sebelum ini, tiket laluan penerbangan yang sama paling tinggi pun RM500 dan pernah serendah RM300.
“Ini tidak menggalakan integrasi nasional ataupun pelancongan ke Sabah,” kata beliau yang juga Pengerusi Sri Pelancongan Sabah.
Jelani berkata sepatutnya syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan dan bukannya mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket.
“AirAsia sebelum beberapa minggu yang lalu telah menambah penerbangan dengan pesawat Airbus A330. Mereka boleh melakukan itu sebab bukannya banyak penerbangan antarabangsa pada waktu ini,” tambahnya.