
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM1.5 juta bagi membantu pelajar Sabah yang terperangkap di asrama kampus atau sekitar kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia akibat Perindah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif berkata, pelajar Sabah yang layak akan menerima bayaran ‘one-off‘ RM300.00 dibawah program Bantuan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAC).
Katanya, pelajar Sabah yang tinggal di asrama atau sekitar kampus IPT Awam dan Swasta yang terkesan dalam tempoh PKP diisytiharkan oleh Kerajaan layak untuk memohon bantuan itu.
“Bantuan akan diluluskan berdasarkan permohonan dan pengesahan oleh institusi-institusi berkenaan di seluruh Malaysia (Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia)…
“Bayaran ‘one-off’ sebanyak RM300.00 seorang akan diberikan dan berdasarkan jumlah pelajar yang berada di asrama pada tempoh tersebut. Pelajar yang tinggal di rumah sewa sekitar kampus juga termasuk dalam kategori ini,” katanya pada sidang media di Wisma Majlus Ugama Islam Sabah (MUIS), hari ini.
Mohd Arifin berkata, Bantuan IMPAC PKP 3.0 juga meliputi Maktab Perguruan, Sekolah Agama, Madrasah, Sekolah Maad Tahfiz, kolej komuniti dan seumpamanya.
Menurutnya, bantuan RM300 itu akan disalurkan terus kepada institut/ kolej/ sekolah/ maktab/ madrasah untuk diagih kepada pelajar-pelajar yang layak dan telah memohon bantuan itu.
Katanya, bagi institut atau Madrasah yang menyediakan makan minum kepada pelajar, maka bantuan tersebut boleh digunakan oleh institut atau madrasah tersebut untuk perbelanjaan makan dan minum pelajar mereka, dan ianya tidak perlu diagihkan kepada pelajar tersebut.
Beliau berkata, sejak bantuan IMPAC diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Hajj Noor, sehingga hari ini, sejumlah RM120,300 telah dibayar kepada pelajar yang layak dari IPT, Maahad Tahfiz/ Sekolah Agama Rakyat.

Mohd.Arifin berkata, sebelum ini dibawah PKP 2.0, seramai 3,839 pelajar Sabah daripada 72 IPT/Institusi seluruh Malaysia telah dibantu dan dibayar yang melibatkan sebanyak RM1,151,700.00.
“Pelajar-pelajar Sabah yang dibantu itu dari 11 buah IPT di Sabah, 6 buah dari Sarawak, 6 dari Johor, 2 dari Negeri Sembilan, 12 dari Selangor/Kuala Lumpur, 22 Pusat Tahfiz dan SAR. Selebihnya IPT dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia,” tegasnya.