Kerajaan Persekutuan Perlu Segera Laksanakan Fasa 3 Pedalaman Atas Projek Pan Borneo 

Kerajaan Persekutuan Perlu Segera Laksanakan Fasa 3 Pedalaman Atas Projek Pan Borneo 

0
SHARE
Bobby
Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A Suan

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya perlu melaksanakan segera Projek Pan Borneo di kawasan pedalaman atas Sabah memandangkan ianya berhampiran dengan ibu kota Kalimantan-Nusantara.

Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan berkata, daerah dalam kawasan pedalaman atas yang menghubungkan daerah seperti Tawau, Nabawan, Keningau, Tambunan dan Tenom perlu diberikan keutamaan dan didahulukan pelaksanaan Projek Pan Borneo di kawasan itu.

Beliau berkata, ini disebabkan kedudukan daerah itu yang dekat dengan Ibu Kota Negara Indonesia yang baru yang dijangka akan dirasmikan pada 17 Ogos tahun ini sempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia, yang julung kalinya diadakan di Nusantara.

“Memandangkan keperluan dan peredaran masa, Projek Jalanraya Pan Borneo ini hendaklah dilaksanakan secara serentak tanpa menunggu siapnya Fasa 1 dan 2, kerana semua daerah itu adalah dalam Fasa 3 yang kita tidak tahu bila dimulakan perlaksanaannya”, katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya, Indonesia merupakan sebuah kuasa baharu di rantau Asia Tenggara dan sebarang perubahan yang berlaku kepada negara itu pastinya akan memberi implikasi yang besar kepada negara-negara di sekitarnya, tidak terkecuali Malaysia.

Menurutnya, prospek perpindahan ini perlu difahami dengan cermat dan berhati-hati kerana perpindahan ibu kota sebuah kuasa serantau di Asia Tenggara itu kelak bakal menjadi ‘game changer’ kepada perkembangan dan perubahan geo-politik, geo-strategik dan geo-ekonomi yang berlaku di wilayah ini kelak.

Bobbey berkata, perpindahan ibu kota kuasa serantau Indonesia, bakal memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia dan Sabah khususnya, tetapi juga bakal menjadi perhatian kepada kuasa-kuasa ekonomi dunia lain seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang selama ini merupakan pemain ekonomi utama di wilayah ini.

“Tidak dinafikan bahawa perpindahan ini akan menjadi medan dan magnet baharu kepada pembangunan ekonomi dan geopolitik di rantau ini yang akan menyamai Metropolis Dubai di Emiriah Arab Bersatu dan Metropolis Shenzen di negara China,” tegasnya.

Katanya, seecara sinikal beliau melihat pihak Kerajaan Persekutuan masih tidak serius dalam menangani isu kelewatan pelaksanaan Projek Pan Borneo di Jajaran Wilayah Sabah yang melibatkan isu pengambilan balik tanah, masalah kontraktor dan sebagainya.

“Sehingga hari ini, pelaksanaannya masih sangat lambat dan menimbulkan kemarahan para pengguna jalan raya di Sabah,” tegasnya.