KUALA LUMPUR – Pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata melonjakkan pembangunan negeri-negeri kurang membangun antara sembilan (9) fokus utama kerajaan.
Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan keselamatan.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata sekurang-kurangnya 50 peratus (50%) daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri termasuk Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang perlahan serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” kata Ismail.
Beliau turut mengumumkan pembinaan pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia.
“Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025…
“Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri itu turut mengumumkan untuk menaik taraf Jalan Dudar – Taburan -Mendawang di daerah Kota Belud kepada jalan berturap dengan kos sebanyak RM 101 juta.
“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya lagi.