PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan kes rasuah yang membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak biarpun tidak memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai salah seorang saksi.
Pasukan pembelaan isteri bekas perdana menteri itu dalam hujahan bertulis memaklumkan bahawa pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib kerana keterangan pemimpin itu, pada dasarnya bersifat menyokong.
“Pada 10 Jan, peguam utama pihak pembelaan, Datuk Jagjit Singh telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memutuskan untuk menarik balik selepas membincangkan merit memanggil Najib dan memilih untuk tidak memanggilnya kerana keterangannya hanya bersifat menyokong,” katanya.
Sementara itu, pihak pembelaan juga berkata pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa Rosmah telah meminta dan menerima sebarang suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Pihak pendakwaan terus mendapati tertuduh bersalah tanpa sebarang asas dan bukti walaupun pihak pendakwaan sendiri mengakui tertuduh tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.
“Oleh itu, kami berhujah bahawa adalah jelas bahawa dakwaan dan pertuduhan terhadap tertuduh adalah remeh, dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk menjadikan tertuduh sebagai kambing hitam…
“Justeru, anggapan statutori di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak boleh digunakan terhadap tertuduh kerana pihak pendakwaan gagal mewujudkan bahan penting bagi ketiga-tiga pertuduhan dalam kes ini,” hujah pihak pembelaan.
Pada 23 Feb tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok (5 April) untuk mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan.
Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.
Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.