KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa serta-merta.
Memetik sumber Berita Harian, beliau menjelaskan peletakan jawatan terbabit dibuat selepas hilang keyakinan dengan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir susulan peletakan jawatan bekas Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima parti itu pada 15 Disember lepas.
“Mukhriz tidak mempunyai kualiti kepimpinan seperti bapanya yang juga Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad serta tidak mampu untuk memimpin parti,” katanya.
Khairuddin turut menjelaskan dengan peletakan jawatan terbabit, beliau juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) berkuatkuasa serta-merta, dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, perjuangan beliau dulu, kini dan selamanya adalah demi wadah perjuangan mulia Dr Mahathir
“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama…
“Presiden PEJUANG sudah tersasar jauh dari landasan perjuangan mulia Dr Mahathir dan selama ini Mukhriz bersama dengan konco-konco beliau bermuka-muka dengan Dr Mahathir saja,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan dalam mesyuarat semua pemimpin bersetuju dengan Dr Mahathir tetapi di belakang mereka mengambil pendirian yang berbeza.





