TAWAU, SABAH – Seorang Ketua Pembantu Tadbir Sekolah Menengah Sepagaya Lahad Datu mengaku tidak bersalah ke atas 22 kiraan pertuduhan rasuah berjumlah RM 24,580.
Tertuduh, Silvester Pantau, 52, didakwa telah menggunakan jawatannya demi menerima suapan dengan mengemukakan invois syarikat milik saudaranya.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku dari bulan Mac sehingga November tahun 2015 dan dibaca dihapadan Hakim Abu Bakar Manat pada Makhmah Sesyen Khas Rasuah Tawau petang kelmarin (Khamis).
Silvester didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, hukuman memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussein Ahmad Shah.
Tertuduh dibebaskan dengan bon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM Sandakan sekali dalam tempoh dua bulan.