KOTA KINABALU, SABAH – Kluster baharu iaitu ‘Kluster Milenium’ dikesan di daerah Tawau ekoran aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Syawal membawa kepada 207 kes baru COVID-19 di Sabah, kelmarin (Isnin).
Kluster ini mula direkodkan di Klinik Kesihatan Tawau hasil saringan bergejala terhadap kes indeks yang merupakan lelaki, 43, guru di SMK Kinabutan 2 pada 23 Mei 2021.
“Selang dua hari kemudian, seramai 16 ahli keluarga kes indeks pula didapati positif COVID-19. Saringan kontak sosial dan tempat kerja iaitu di Agro Bank juga mengesan sembilan (9) lagi kes positif, termasuk tiga (3) kontak rapat kepada salah satu kes positif di bank komersial terbabit…
“Turut direkodkan lima (5) kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes. Pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” kata Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau juga berkata DUA (2) kes kematian direkodkan iaitu di daerah Kunak dan Lahad Datu manakala jumlah kes positif pada hari ini meningkat 17 kes dari sebelum ini (Ahad).

Pada masa yang sama Ketua Kampung di seluruh Sabah diarahkan memantau dan mengawal penularan COVID-19 dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
“Ini sejajar dengan kuasa yang diberikan kepada Ketua Kampung di bawah Ordinan Pentadbiran Luar Bandar [Sabah Bab 132] (OPLB),” jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata.
Semua Ketua Kampung diarah memaklumkan kepada majlis perbandaran, daerah atau pegawai berkenaan dengan serta merta jika berlakunya penularan wabak tersebut atau kematian di dalam kampung.
“Dan jikalau ada penduduk kampung atau orang yang berada dalam kampung melakukan atau cuba melakukan atau dengan niat melakukan kesalahan yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menjadi kesalahan di bawah Akta 342,” tegas beliau.





