KM Sabah Umum Bantuan Prihatin 3.0 COVID-19 Bagi Bantu Rakyat Terjejas PKP

KM Sabah Umum Bantuan Prihatin 3.0 COVID-19 Bagi Bantu Rakyat Terjejas PKP

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 berjumlah RM154,835,981 juta membabitkan bantuan tunai ‘one-off’ RM300 dan bakul makanan bagi membantu rakyat terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bermula 1 Jun lalu.

Bantuan ‘one-off’ RM300 melibatkan jumlah RM120,469,481 dan bantuan bakul makanan bernilai RM34,366,500 juta.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, berkata bantuan ‘one-off’ RM300 itu membabitkan seramai 370,432 penerima manakala bantuan bakul makanan adalah sebanyak 343,665.

Katanya, Bantuan Sabah Prihatin 3.0 itu adalah bantuan tambahan kepada RM238,369,318 juta yang sudah diagihkan menerusi Bantuan Sabah Prihatin 1.0 dan 2.0, sejak hujung tahun lalu.

“Mesyuarat Kabinet Negeri pada 9 Jun 2021 telah memutuskan pemberian Bantuan Khas 3.0 COVID-19. Bantuan Kerajaan Negeri ini adalah tambahan kepada pelbagai jenis bantuan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat baru- baru ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM2.1 bilion serta Geran Khas Prihatin sebanyak RM1.5 bilion kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS)…

“Dengan penambahan bantuan 3.0 ini, secara keseluruhannya sejumlah RM358,838,800 juta termasuk bantuan awal (bantuan 1.0 dan 2.0) telah dan akan diagihkan kepada rakyat yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik ini.

“Saya berharap bantuan ini (Bantuan Sabah Prihatin 3.0) akan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik ini,” katanya selepas mendengar Taklimat Pengurusan Keselamatan Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diagihkan dalam masa terdekat yang merangkumi pembayaran secara tunai ‘one-off’ RM300, pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan bantuan kepada pelajar institusi pengajian swasta dan awam.

Katanya, Bantuan Sabah Prihatin itu akan diagihkan menerusi LAPAN (8) kementerian, selain Pejabat Tugas-Tugas Khas dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada golongan sasaran masing-masing.

“Mereka yang akan menerima bayaran itu antaranya ialah penerima e-Kasih, miskin tegar, miskin, anak yatim, warga emas, ibu tunggal, petani, orang kelainan upaya, pemandu pelancong, pemandu teksi dan penjaja, kecil, usahawan mikro dan kotej,” katanya.

Bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sebanyak RM45,612,200 juta diperuntukkan untuk bantuan one-off RM300 kepada 153,914 penerima bagi kategori miskin, miskin tegar dan e-kasih.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pula menerima peruntukan sebanyak RM2,879,500 juta untuk diagihkan kepada 3,325 penerima yang membabitkan pemandu pelancong, pengiat seni, dive master, malim Gunung, porter, hotel, pengusaha pelancongan dan Persatuan Inap Desa.

 

Manakala untuk hotel dan penginapan pula, bagi hotel bertaraf empat dan lima bintang masing-masing akan menerima RM5,000 dan hotel bertaraf tiga, dua serta satu bintang sebanyak RM2,000; penginapan bertaraf tiga, dua dan satu Orkid
(RM2,000); Persatuan Homestay atau Inap Desa (RM1,000) dan hotel yang belum mendapat penarafan (RM1,000) serta pengusaha Pelancongan (RM2,000).

Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat pula menerima peruntukan sebanyak RM19,334,700 yang akan diagihkan secara tunai ‘one off’ kepada 64,449 penerima merangkumi golongan sasaran daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am; Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Skim Bantuan Am, ia membabitkan skim bantuan am; bantuan anak yatim; bantuan orang tua; orang kelainan upaya (OKU) dan bantuan kanak-kanak manakala Jabatan Hal Ehwal Wanita adalah bantuan kepada ibu tunggal dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan
bantuan veteran ATM.

Kementerian Pembangunan Perindustrian pula diperuntukkan sebanyak RM2,880,000 juta untuk bantuan ‘one off’ membabitkan seramai 9,600 penerima kategori usahawan mikro dan kotej.

Bagi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pula, sebanyak RM15,120,765 juta diperuntukkan untuk bantuan ‘one off’ kepada 16,153 penjaja kecil dan pengurusan PPR yang membabitkan pengecualian bayaran sewa selama TIGA (3) bulan.

Kementerian Kerja Raya menerima peruntukan sebanyak RM1,156,500 juta untuk diagihkan secara tunai ‘one off’ kepada 3,855 penerima yang membabitkan pemandu bas, lori, teksi, institusi memandu, pemandu bot dan pemohon baru.

Kategori nelayan, petani, pekebun kecil sawit (MPOB), pekebun kecil koko, pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), penternak dan pekebun kecil Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) yang membabitkan seramai 99,902 penerima turut menerima bantuan one off menerusi peruntukan sebanyak RM29,970,600 juta daripada Kementerian Pertanian dan Perikanan.

Pejabat Tugas-Tugas Khas pula memperuntukkan sebanyak RM1,500,000 juta untuk bantuan kepada pelajar Institusi Pengajian Swasta/ Awam manakala Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM500,000 untuk bantuan Prihatin Dapur Belia 4.0 Majlis Belia Sabah yang membabitkan 15,000 penerima.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pula menerima peruntukan sebanyak RM1,515,216 juta untuk bantuan one off kepada 4,234 penjaja kecil dan juga pengurusan PPR yang merangkumi pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan untuk PPR Taman Keramat, Putatan (432 unit) dan Taman Kurnia Jaya, Likas (46 unit).