
KUALA LUMPUR – Kumpulan vokal R&B terkenal negara, Ruffedge menggegarkan ibu kota menerusi konsert Ruffera : That Moment In Time Tour dengan penampilan tetap DJ Uno bertempat di Mega Star Arena, semalam.
Seramai 4,500 orang penonton yang hadir menyaksikan persembahan anggotanya, Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain selama dua jam lebih tanpa henti.
Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah dalam satu kenyataan media berkata majoriti peminat Ruffedge hadir seawal jam lima petang bagi menghadiri konsert terbabit.
“Jumlah penonton yang hadir sangat memberangsangkan dan kami di YOLO sangat terharu dengan sambutannya, Ruffedge sememangnya ‘Da Bomb’ dan tidak pernah mengecewakan,” katanya.
Ruffedge menerusi konsert itu menyampaikan sebanyak 25 buah lagu seperti Goyang, Tiada Lagi Cinta, Tipah Tertipu, Lemas, Da Bomb, Bila Rindu, Khayalan dan sebagainya.
Selain itu, penonton juga berpeluang menyaksikan persembahan istimewa Ruffedge di bawah kelolaan pengarah muzik tersohor, Datuk Acis.
Antaranya ialah medley lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah seperti Azura, Suraya nyanyian kumpulan Indigo dan Rozana oleh kumpulan Search dalam rentak R&B serta penampilan istimewa oleh Lah Ahmad.