TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 bersempena musim cuti persekolahan, bermula 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Payung RAHMAH yang diperuntukkan sebanyak RM300 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 oleh Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM dengan penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah pelaksanaan serta golongan sasar bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya ibu bapa yang membuat persiapan sesi persekolahan baharu.
“Bersempena persediaan sesi persekolahan 2026, KPDN memperluas pelaksanaan PJRM melalui penganjuran PJRM Kembali ke Sekolah yang diadakan sepanjang tempoh cuti persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
Sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dalam program ini melalui pelaksanaan dalam premis dan luar premis. Para pengguna berpeluang mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
Antara barangan ditawarkan merangkumi 45 hingga 80 unit simpanan stok (SKU) termasuk pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah serta kelengkapan alat tulis.
Dalam tempoh penganjuran tersebut, sebanyak 269 siri PJRM Kembali ke Sekolah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi penganjuran melalui Takwim PJRM di laman sesawang rasmi KPDN.






