KSTI Komited Perkukuh Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Khusus Komuniti Luar Bandar

KSTI Komited Perkukuh Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Khusus Komuniti Luar Bandar

0
SHARE
Arifin bergambar kenangan bersama penerima sumbangan termasuk 30 pelajar universiti dan kolej di Sabah terima bantuan BAIK...

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah (KSTI), melalui inisiatif strategiknya, terus komited memperkukuhkan akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya bagi komuniti luar bandar dan golongan rentan.

Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tahun ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM35.5 juta untuk bantuan pendidikan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM79.5 juta.

Jelasnya, langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan yang inklusif dan menyeluruh.

“Bantuan pendidikan ini merangkumi pelbagai skim yang dirancang untuk menangani cabaran semasa, termasuk, bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) yang mana peruntukan bagi skim ini telah ditingkatkan daripada RM10 juta pada tahun 2024 kepada RM20 juta pada tahun 2025 dan memberi manfaat kepada 10,000 pelajar daripada golongan B40 dan M40 yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, subsidi Tiket Penerbangan Graduan Rindu Sabah (GRS SubFly) di mana inisiatif ini menyediakan bantuan sebanyak RM600 untuk pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan.

“Pelajar dalam Sabah turut layak menerima bantuan RM300 menerusi skim baharu, Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA),” katanya ketika berucap menyampaikan amanatnya di Majlis Amanat Menteri 2025 KSTI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Tambah Arifin yang juga Exco Pendidikan, bantuan Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES) yang melibatkan bantuan one-off sebanyak RM3,000 untuk setiap sekolah di Sabah bertujuan meningkatkan kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

Arifin (tengah barisan belakang) bergambar kenangan bersama 30 pengamal media yang diraikan…

Majlis sama turut memberi penghargaan kepada 30 pengamal media di Sabah yang sudah bekerjasama dengan KSTI selama ini dalam membantu menyiarkan program serta pencapaian kementerian itu.

Dalam majlis sama Arifin turut menyampaikan beberapa bentuk bantuan dan sumbangan termasuk, Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) fasa 2 berjumlah RM5,024,000.00 kepada 628 buah sekolah seluruh Sabah bertujuan untuk bantuan pembelian alatan ICT dan digital.

Seterusnya, Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) berjumlah RM3,000,000.00 kepada 1500 PIBG di Sabah bertujuan khusus untuk melaksanakan program atau aktiviti PIBG.

Selain itu, sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES) yang merupakan inisatif baru diperkenalkan tahun ini berjumlah RM4,500,000.00 kepada 1500 buah sekolah di Sabah juga bantuan khusus untuk kegiatan atau aktiviti atau program sekolah.

Terakhir adalah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) di mana seramai 30 orang penerima yang daripada beberapa buah universiti dan kolej di Sabah.