Lapor MAVCOM Syarikat Penerbangan Tak Patuh Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016...

Lapor MAVCOM Syarikat Penerbangan Tak Patuh Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 – Loke

0
SHARE
Anthony
Anthony Loke (Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Menteri Pengangkutan)

SEPANG, SELANGOR – Pengguna diminta melaporkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sekiranya terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 yang ditambah baik.

Memetik sumber Bernama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kod berkenaan bukan penggunaan bermusim, sebaliknya sepanjang masa.

“Kalau ada syarikat penerbangan langgar kod etika terbabit, penumpang boleh buat aduan kepada MAVCOM. Ini sesuatu yang dipantau sepanjang masa.

“Ia bukan bermusim, bila-bila masa kalau ada perlanggaran kod etika dan kalau penumpang rasa mereka dilayan tidak adil atau rasa hak mereka terjejas (laporkan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan teknologi sokongan darat terkini AirAsia, di sini, semalam.

Pada 28 Ogos lalu, Loke berkata, berkuat kuasa 2 September, syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan.

Beliau berkata, perkara itu antara penambahbaikan baharu dalam MACPC yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan menerusi MAVCOM dan diwartakan September lalu.