LAWATAN PERTAMA KHAIRY SEBAGAI MENTERI KESIHATAN BAWA BERITA BAIK BUAT SABAH –...

LAWATAN PERTAMA KHAIRY SEBAGAI MENTERI KESIHATAN BAWA BERITA BAIK BUAT SABAH – KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji (tengah) bergambar selepas mesyuarat bersama Khairy (kanan), Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (kiri) dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya (dua dari kiri)...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin, atas lawatan kerjanya yang pertama ke Sabah sebagai Menteri Kesihatan selepas dilantik menerajui Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos lalu.

Hajiji dan Khairy turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan (CITF) yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini

“Saya ingin merakamkan tahniah kepada Khairy yang kini menerajui Kementerian Kesihatan.”

Lawatan Menteri Kesihatan ke Sabah turut membawa berita gembira kepada negeri ini terutamanya berkaitan peningkatan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui ‘mobile outreach’.

“Selain itu penambahan peralatan perubatan ke Sabah melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti 480 silinder oksigen, 24 kotak Oxygen Regulator dan lima (5) kotak ubat-ubatan COVID-19 yang dijangka tiba esok…

“Begitu juga dengan penambahan ambulan dan pegawai perubatan. Justeru, kerajaan negeri ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya kepada Menteri Kesihatan.

“Harapan kami juga agar Sabah mendapat bekalan vaksin yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataannya di sini sempena lawatan kerja Menteri Kesihatan ke Sabah.

Hajiji turut memaklumkan bahawa pengurusan COVID-19 di Sabah dipantau dan diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang bermesyuarat setiap hari.

“Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana telah membenarkan Sabah beralih dan kekal di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri turut mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terkesan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan juga yang dikenakan kurantin kendiri (self-quarantine) di rumah.

Sementara itu, Hajiji berkata setakat 4 September 2021, peratusan penduduk dewasa yang lengkap menerima vaksin telah meningkat kepada 44.8 peratus (44.8%) sementara peratusan penduduk Sabah yang telah menerima dos 1 adalah 63.7 peratus (63.7%).

“Kerajaan Negeri yakin dengan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjumlah 83,140 orang sehari dan pelaksanaan program outreach ke kawasan terpencil, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk diberikan imunisasi akan tercapai pada bulan Oktober ini…

“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan pemberian bekalan vaksin yang diperlukan.

“Bekalan vaksin sebanyak 1,056,360 dos pada bulan Julai diikuti 1,650,510 dos pada bulan Ogos dan 765,920 dos sehingga 5 September telah dapat melonjakkan aktiviti pemberian vaksin dan meningkatkan kadar peratusan penduduk diimunisasi,” katanya.

Kata Hajiji, berdasarkan bilangan baki penduduk yang belum menerima vaksin dan jumlah penduduk yang masih menunggu dos 2, Sabah masih memerlukan bekalan vaksin yang agak banyak iaitu 2,672,645 dos.

“Jumlah ini hanyalah untuk penduduk dewasa dan belum melibatkan penduduk berumur 12 tahun hingga 17 tahun,” katanya sambil menambah seramai 122,190 orang penduduk berumur 18 tahun ke bawah di Sabah telah mendaftar dalam sistem MySejahtera setakat 4 September.