SEMPORNA, SABAH – Seorang lelaki warganegara asing berusia 55 tahun rentung dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah di Kg Pinggiran Bakau, sini, semalam.
Turut musnah, sebuah kedai runcit kecil dan dua buah kenderaan Proton Preve dan Wira.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.02 pagi.
Katanya, anggota pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna menemui mayat pada pukul 11.16 pagi dalam salah sebuah tapak rumah yang terlibat.
“Seramai 10 anggota dikerah ke lokasi dengan bantuan lapan anggota BBP Air Semporna.
“Tujuh buah rumah jenis tidak kekal termasuk kedai dengan anggaran keluasan 1309 meter persegi terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan air laut.
“Operasi terkawal pada jam 9.45 pagi dan ditamatkan pada 12.30 tengah hari,” kata seorang jurucakap bagi agensi.