
KUALA LUMPUR – Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri atas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan fitnah jenayah merupakan kesalahan yang membawa ke hukuman penjara.
Pengarahnya, Zaid Malek berkata tindakan terbabit akan turut memberi kesan kepada amalan menyuarakan kritikan yang sah terhadap kerajaan.
Memetik sumber Malaysia Kini, mengulas lanjut, Zaid menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mengambil tindakan menerusi mahkamah sivil bagi membersihkan namanya daripada dakwaan Muhyiddin.
“LFL berpandangan laporan polis yang dibuat Setiausaha Politik Perdana Menteri sebagai mengejutkan dan tidak demokratik. Jelas, laporan itu tidak boleh dibuat tanpa kebenaran Anwar.
“Tujuan laporan itu jelas untuk menutup kritikan terhadap Anwar oleh Muhyiddin dan mungkin orang lain juga yang ingin mengkritiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, dilaporkan Setiausaha Politik Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim telah membuat laporan polis terhadap Muhyiddin atas dakwaan membuat kenyataan fitnah terhadap Anwar.
Laporan tersebut berkaitan dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau menjadi mangsa pendakwaan politik dan salah guna kuasa kerajaan, berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadapnya.
Sehubungan dengan itu, Zaid turut menyifatkan tindakan Anwar atau mana-mana Menteri menggunakan jentera kerajaan untuk menghalang sebarang kritikan yang “mewujudkan persepsi negatif” – seperti yang disebut Muhammad Kamil – adalah “zalim, tidak mengikut undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan”.
Katanya, jika Perdana Menteri atau mana-mana pihak dalam kerajaan merasakan dirinya difitnah, jalan yang betul adalah membawanya ke mahkamah.
“Adakah Anwar telah lupa ketika era Najib Razak, Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkan ketika itu berdepan dengan siasatan sama kerana mengkritik Najib?
“Adakah Anwar dan gabungan politiknya tidak belajar apa-apa daripada tekanan yang mereka hadapi?” katanya.
Beliau berkata laporan polis itu mewujudkan duluan yang bahaya kerana tindakan sama boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan, seterusnya menjadikan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak bermakna.
“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa tugas polis bukan untuk melindungi imej atau reputasi Perdana Menteri mahupun kerajaan pimpinannya. Tugas mereka adalah melindungi orang awam daripada jenayah dan menjaga ketenteraman awam.
“Kerajaan yang matang dan demokratik menjawab kritikan secara terbuka, bukan cuba memenjarakan pengkritik mereka,” katanya.





