GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sengaja untuk menyusahkan DAP yang kini rancak membuat persiapan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Memetik kenyataan portal berita Bernama, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata arahan itu sudah tentu akan menjejaskan kesiapsiagaan DAP untuk menghadapi PRU14.
“Parti rasa kerana keadaan semasa sekarang menjelang pilihan raya umum, tindakan (arahan mengadakan pemilihan semula) sedemikian bukan secara kebetulan tetapi nampaknya sengaja untuk menyusahkan parti apabila kita sedang rancak membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi PRU14.
“Tetapi demi membuktikan bahawa kami tidak takut mengadakan pemilihan semula walaupun menggunakan senarai nama perwakilan 2012 ataupun senarai nama perwakilan 2017, kami bersedia mengadakan pemilihan semula parti berdasarkan senarai nama perwakilan 2012,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan DAP akur arahan RoS itu juga antara lain untuk memastikan parti tersebut tidak diharamkan atau dipadamkan pendaftaran bagi membolehkan mereka bertanding pada PRU14.
“Itu adalah satu taktik yang kami nak elakkan supaya ia tidak berlaku. Saya harap semua wakil boleh hadir supaya kita jalankan proses ini sekali lagi berdasarkan senarai nama perwakilan 2012 supaya kita dapat memastikan parti DAP terus kekal dan dapat berdepan lawan Barisan Nasional dalam PRU14,” katanya.
Semalam, Lim dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan 12 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam selepas dipersetujui RoS.
Beliau berkata parti itu juga akur dengan arahan RoS untuk menggunakan semula senarai nama 2,576 anggota perwakilan dan senarai asal calon pada pemilihan 2012 untuk sesi pemilihan semula tersebut.
Pada 17 Julai lepas, DAP menerima surat daripada RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC berikutan jabatan berkenaan belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Dis 2012 dan pemilihan semula pada 29 Sept 2013.