KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan setiap kehendak Perlembagaan Persekutuan tanpa berlengah, khususnya berkaitan hubungan kewangan antara Persekutuan dan negeri.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang Geran Mengikut Bilangan Orang (Geran Kapitasi) di Dewan Rakyat semalam, beliau menegaskan bahawa isu geran tersebut bukan sekadar soal teknikal kewangan, sebaliknya menyentuh prinsip keadilan dalam sistem federalisme negara.
Menurutnya, kadar Geran Kapitasi tidak disemak secara menyeluruh sejak lebih dua dekad walaupun kos sara hidup meningkat, tanggungjawab negeri bertambah dan keperluan rakyat semakin kompleks.
“Sehubungan itu, saya menyokong agar semakan dibuat setiap 10 tahun selaras dengan banci penduduk,” katanya.
Madius yang juga ADUN Tamparuli merujuk kepada Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Geran Kapitasi sebagai asas perkongsian kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Katanya, peruntukan tersebut penting bagi memastikan setiap negeri mempunyai sumber minimum untuk mentadbir serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berpandangan kadar sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti semasa kerana tidak mengambil kira tekanan inflasi, pertambahan fungsi negeri dan peningkatan kos pentadbiran moden.
Dalam masa sama, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil iktibar daripada kegagalan melaksanakan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan selama lebih 50 tahun sehingga perkara tersebut terpaksa dibawa ke mahkamah untuk penguatkuasaan.
“Kerajaan Persekutuan hendaklah melaksanakan setiap kehendak Perlembagaan dan tidak lari daripada kewajipan serta tanggungjawabnya,” tegasnya.
Menyentuh cadangan peningkatan kadar Geran Kapitasi kepada 25 peratus, beliau menyifatkannya sebagai langkah pembetulan terhadap ketidakseimbangan fiskal yang telah lama wujud.
Walaupun ada pandangan bahawa peningkatan itu memberi tekanan kepada kewangan Persekutuan, katanya, kekurangan dana di peringkat negeri boleh menyebabkan projek pembangunan tertangguh dan menimbulkan kos lebih besar dalam jangka panjang.
Selain itu, beliau mencadangkan agar formula pengagihan geran pada masa hadapan turut mengambil kira faktor keluasan geografi, kos penyampaian perkhidmatan dan tahap pembangunan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana meletakkan Sabah sebagai penerima kedua tertinggi selepas Selangor dalam agihan geran berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah kerana pemberian tersebut turut merangkumi individu yang didakwa memperoleh kerakyatan melalui isu projek IC.
Beliau merujuk kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah pada 2012 yang mengesahkan kewujudan isu tersebut serta mengemukakan beberapa syor penyelesaian.
“Tuaran ingin bertanya kepada Kerajaan, mengapakah syor-syor RCI mengenai PATI di Sabah itu tidak dilaksanakan sehingga kini?
“Selain ancaman kepada kedaulatan negara, ia juga menambah beban kerajaan yang terpaksa menampung perbelanjaan tidak perlu serta menjadi ketidakadilan kepada rakyat Orang Asal Sabah,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah selagi isu keadilan perlembagaan dan hak negeri tidak diselesaikan secara tuntas.
“Jika adil kita pertahankan selalu, tapi kalau ada yang tidak betul, Tuaran bangkit untuk rakyat Sabah,” katanya.






