KOTA KINABALU, SABAH – Angka jangkitan harian naik semula hari ini dengan 192 kes baharu iaitu pertambahan 16 kes berbanding jumlah semalam.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lebih banyak daerah merekodkan pertambahan jangkitan harian dengan beberapa daerah mencatatkan perubahan yang mendadak dalam tempoh sehari.
“Putatan yang bersih daripada jangkitan kelmarin melonjak naik 20 kes hari ini, Papar meningkat dua angka daripada 9 kepada 19 kes dan Sandakan mencatat 17 kes baharu (+5)…
“Kota Kinabalu kekal tinggi dengan 71 kes (-9), Penampang 21 kes (+2) dan Tuaran 16 kes (+1),” katanya dalam rumusan harian kes.
Beliau berkata hanya 10 daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu berbanding 12 daerah kelmarin.
“Sebanyak 11 daerah mencatatkan kes baharu satu angka termasuk 5 daerah yang sebelum ini bersih daripada sebarang jangkitan…
“Enam (6) daerah pula mencatatkan jangkitan baharu dua angka berbanding hanya 4 daerah semalam,” tambahnya.
Tegasnya, Menteri Kesihatan Malaysia telah pun memberi peringatan bahawa Malaysia seperti banyak negara lain akan melalui fasa peningkatan jumlah kes harian.
“Kita sedang mengalaminya di Sabah. Amatlah disarankan agar semua penduduk kembali mematuhi semua SOP yang berkuatkuasa bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid…
“Pematuhan SOP khususnya pemakaian pelitup muka hendaklah dibudayakan semula semasa menghadiri perhimpunan dan aktiviti sosial lain,” kata Masidi.
Terdapat masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5 hari ini.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (09 Julai 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu 71 (80)
Penampang 21 (19)
Putatan 20 (0)
Papar 19 (9)
Sandakan 17 (12)
Tuaran 16 (15)
Keningau 7 (3)
Beluran 4 (0)
Kota Marudu 4 (4)
Kuala Penyu 3 (6)
Beaufort 2 (5)
Tawau 2 (5)
Tenom 2 (4)
Nabawan 1 (0)
Semporna 1 (0)
Tambunan 1 (0)
Telupid 1 (0)
Kalabakan 0 (0)
Kinabatangan 0 (1)
Kota Belud 0 (5)
Kudat 0 (1)
Kunak 0 (0)
Lahad Datu 0 (7)
Pitas 0 (0)
Ranau 0 (0)
Sipitang 0 (0)
Tongod 0 (0)





