Majlis Himpunan Kesyukaran Dihadiri Lebih 2,000 Penyukong PAS

Majlis Himpunan Kesyukaran Dihadiri Lebih 2,000 Penyukong PAS

0
SHARE
Sumber Foto; BH Online

KOTA BHARU – Lebih 2,000 penyokong PAS hadir pada majlis Himpunan Kesyukuran dan Solat Hajat Perdana yang diadakan di pekarangan bangunan Wisma Tok Guru, Salor, di sini, malam ini.

Memetik kenyataan BH Online, majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan PAS mendapatkan kembali tanah tapak Wisma Tok Guru yang menjadi pejabat Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.

Orang ramai dilihat mula berkumpul sejak 6 petang untuk bersama menunaikan solat Maghrib, Isyak dan hajat yang diimamkan adik Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Razi Nik Mat.

Upacara menaikkan bendera besar PAS turut dilakukan diketuai Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sebagai simbolik lokasi yang digunakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu kembali menjadi milik PAS selepas berlaku pertikaian antara kedua-dua parti berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.

Majlis turut diselit ucapan beberapa pemimpin PAS dalam keadaan aman dengan bantuan kawalan pasukan polis serta unit Jabatan Amal.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan seluruh barisan kepimpinan PAS negeri ini.

BH Online hari ini melaporkan Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan injunksi dikemukakan Husam terhadap pemilik tanah yang menempatkan bangunan Wisma Tok Guru, Mohd Yasin Yusoff.

Sebelum ini, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar dari premis berkenaan pada 12 November lalu selepas tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan atas isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd Yasin yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan dengan harga RM700,000.

Dalam pada itu, Nik Razi selepas mengimamkan solat itu sempat menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar menolak PAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Mereka (PAN) anak murid Tok Guru derhaka. Jangan bagi undi kepada mereka. Saya juga ingatkan jangan sesekali gunakan nama Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk kepentingan politik,” katanya.