BEIJING, CHINA – Acara Maraton Wuhan yang dijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan susulan kebimbangan pihak penganjur terhadap kes penularan jangkitan COVID-19 yang kian melonjak di China.
China, yang melaporkan 22 kes penularan tempatan baharu hari ini, kini sedang dalam pendekatan toleransi sifar dengan hanya tinggal lebih 100 hari sebelum temasya Olimpik musim sejuk Beijing 2022 bermula.
Pihak berkuasa berusaha mengekang penularan melalui pengujian secara besar-besaran terhadap penduduknya selain melaksanakan perintah berkurung secara bersasar.
Penganjur Marathon Wuhan dalam satu kenyataan semalam yang dipetik AFP berkata, acara itu terpaksa ditangguh bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan ekoran jumlah jangkitan yang kian meningkat di negara itu.
Acara marathon itu dijangka disertai kira-kira 26,000 peserta termasuk kategori penuh atau separa maraton, di bandar yang sebelum ini menjadi lokasi pertama penularan COVID-19 pada penghujung 2019.
Edisi ke-40 Marathon Beijing pada hujung minggu depan juga mungkin ditangguhkan, menurut laporan media tempatan, Beijing Daily, yang diterbitkan semalam.
Bagaimanapun, pihak penganjur belum memberikan maklum balas ketika dihubungi oleh AFP.
Susulan China sedang bergelut dengan lonjakan COVID-19 terbaru, pihak berkuasa hari ini turut mengumumkan penggantungan kumpulan pelancongan rentas wilayah di lima kawasan di mana kes baharu mula dikesan termasuk di Beijing.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional, Mi Feng, berkata risiko penularan wabak itu semakin meningkat saban hari.
Menurut pihak berkuasa, beberapa bandar termasuk ibu kota wilayah Gansu, Lanzhou, serta beberapa bahagian lain di Inner Mongolia turut mengambil langkah menggantung perkhidmatan bas dan teksi.
Seorang lagi pegawai kesihatan, Wu Liangyou, berkata kes jangkitan domestik baru-baru ini membabitkan jenis varian Delta dari luar negara, kebanyakannya berhubung kait dengan 13 kumpulan pelancong atau pelancong secara memandu sendiri.
Beliau mengingatkan, jumlah kes baharu akan meningkat berikutan skala pengujian virus terus dilakukan.





