Misi Menyelamatkan Rayan Berakhir Dengan Tragedi

Misi Menyelamatkan Rayan Berakhir Dengan Tragedi

0
SHARE

CHEFCHAOUEN, MOROCCO – Seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan keselamatan.

Rayan Awram berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat sekitar jam 10 pagi waktu tempatan hari ini dan diberi rawatan perubatan sejurus dikeluarkan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Namun, budak yang berumur lima tahun itu disahkan meninggal dunia setelah tiba di hospital, lapor Reuters.

Pasukan penyelamat bekerja siang malam untuk menggali terowong menuju kepada Rayan yang terperangkap dalam perigi itu selama tiga hari…

Melalui video siaran langsung yang dipaparkan di beberapa akaun Facebook agensi media antarabangsa, kedengaran beribu penduduk di situ yang sabar menantikan kepulangan Rayan sejak berhari-hari melafazkan doa syukur selepas menyaksikan budak lelaki itu berjaya diselamatkan.

Rayan terperangkap di dalam perigi di perkampungan Ighrane di wilayah Chefchaouen, di sini, sejak Selasa.

Operasi penggalian mengambil masa yang lama kerana anggota-anggota penyelamat terpaksa bekerja secara berhati-hati untuk mengelak risiko yang boleh merbahayakan nyawa Rayan…

Pasukan penyelamat membekalkan oksigen pada setiap masa kepada Rayan dan memantau keadaannya dengan menggunakan sebuah kamera yang diturunkan ke dalam perigi tersebut.

Sebelum ini, TANDA PAGAR #SAVERAYAN (SELAMATKAN RAYAN) TULAR DI SELURUH DUNIA SEBAGAI TANDA SOKONGAN DAN DOA kepada kanak-kanak itu dan agar urusan pasukan penyelamat dapat dipermudahkan.

Namun, setelah kenyataan sah mengenai kematian Rayan dilaporkan, warganet mula mengucap takziah menggunakan tanda pagar #RIPRayan di media sosial.