MOTAC Sentiasa Komited Bantu Pengusaha, Pemain Industri Pelancongan Negara

MOTAC Sentiasa Komited Bantu Pengusaha, Pemain Industri Pelancongan Negara

0
SHARE
Nancy (dua dari kiri) memotong riben sebagai gimik perasmian ATV Park Lahad Datu...

LAHAD DATU, SABAH – Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengalu-alukan kerjasama dari pihak individu atau persendirian dalam usaha memastikan industri pelancongan negara terus maju.

Menterinya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan industri pelancongan.

“MOTAC sentiasa komited dalam membantu pengusaha-pengusaha dan pemain industri pelancong untuk terus bergiat aktif dan progresif melangkah terus ke hadapan…

“Komitmen ini akan diterjemahkan menerusi  Rancangan Malaysia Kedua-Belas (RMKe-12) di dalam Fokus Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi yang selaras dengan visi dan misi MOTAC di bawah agenda Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Tumpuan diberikan kepada pembangunan sektor pelancongan serta pemulihan industri berteraskan norma baharu dan ketersediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap untuk menjalinkan kerjasama erat antara kerajaan pusat bersama negeri dalam sentiasa mencari formulasi dan merangka strategi untuk memperkasakan semula industri pelancongan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan “Segama ATV Park” di sini semalam.

Nancy (tengah) bergambar bersama sebuah ATV yang menjadi aktiviti menarik terbaharu di Lahad Datu…

Katanya pembukaan taman ATV berkenaan menjadi pakej baharu kepada pertumbuhan eko-pelancongan masyarakat setempat yang mengusahakannya, terutamanya yang melibatkan sukan lasak dan ekstrem.

“Saya berharap industri aktiviti sukan lasak ini juga mampu menjadi enjin penggerak yang utama untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja memberi pulangan pelaburan kepada negara tetapi pendapatan yang kukuh kepada setiap pengusaha dan pemain-pemain di sekelilingnya,” tambahnya.

Hadir dalam majlis itu Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr. Mohammad Ayub Hj Yakub.

Dato’ Sri Hajah Nancy menambah bahawa kunjungannya di daerah Lahad Datu turut melibatkan usaha mengenalpasti produk pelancongan baru.

Beliau percaya Segama ATV Park itu mampu menjadi satu lagi daya tarikan baharu selain 28 produk pelancongan lain yang ditawarkan di Lahad Datu.