MOU TIDAK TERBATAL WALAUPUN PEMBANGKANG TOLAK AKTA SOSMA DI PARLIMEN – ANWAR...

MOU TIDAK TERBATAL WALAUPUN PEMBANGKANG TOLAK AKTA SOSMA DI PARLIMEN – ANWAR IBRAHIM

0
SHARE
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim...

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penolakan pembangkang terhadap usul kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Jelas Anwar, ini kerana usul tersebut bukan sebahagian dari MoU di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya terkait usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri berhubung Akta SOSMA walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian dari MoU di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan…

“Oleh itu, penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut,” katanya menerusi hantaran akaun Facebooknya.

Tambahnya, beliau juga telah mengambil maklum pertemuan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri semalam, komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April.

“Penghargaan saya buat seluruh saf Pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut,” katanya.

Terdahulu, usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen Sosma bagi tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.