KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwanya menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa Muhyiddin membuat kenyataan fitnah terbabit dalam satu ucapan ketika ceramah ‘Grand Finale PN Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim pada 5 Disember lepas.
Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi, berkata ucapan dan bahagian petikan yang menyinggung perasaannya itu diterbitkan semula di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama @beritakini8.
Mengulas lanjut, pada 8 Disember lepas iaitu sehari selepas menghantar notis tuntutan melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners, Anwar berkata Muhyiddin menyebabkan penyataan fitnah itu diterbitkan semula di akaun Facebook rasminya
“Kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud saya seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan saya menerima RM1 sebagai gaji…
“Kenyataan fitnah ini dirancang terlebih dulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi dan perwatakan saya secara serius selain memburukkan nama baik dan karakter saya yang juga penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.
“Muhyiddin keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik (kenyataan) yang sama, tetapi terus menerbitkan perkataan fitnah itu dengan sengaja dan tidak memadamkannya sehingga kini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Anwar menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pampasan dan ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah serupa daripada Muhyiddin.