Nabawan Diisytihar Bencana Banjir, Satu PPS Dibuka Hari Ini

Nabawan Diisytihar Bencana Banjir, Satu PPS Dibuka Hari Ini

0
SHARE

NABAWAN: Daerah ini telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 5.30 pagi hari ini susulan hujan berterusan.

Ekoran pengisytiharan bencana banjir itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan pada jam 10 pagi hari ini, iaitu PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah. 

Pengisytiharan bencana banjir dan pembukaan PPS ini telah diumumkan oleh Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Nabawan, Ts Marshal Anthony melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Sabah.

Sementara itu, APM Nabawan dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan pihaknya kini sedang membuat pemantauan rapat di beberapa lokasi termasuk jambatan Kampung Malampoi, Jalan Pekan Nabawan, Gerai Pekan Nabawa dan Kampung Lumintak. 

Berdasarkan pemantauan tersebut, APM memaklumkan bahawa keadaan paras air sedang meningkat dengan keadaan cuaca yang masih hujan dan menyebabkan beberapa jalan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.