NCA DIBELENGGU KESULITAN TEKNIKAL TAPI MASIH ‘ON’ : KM HAJIJI

NCA DIBELENGGU KESULITAN TEKNIKAL TAPI MASIH ‘ON’ : KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Bernama )

KOTA KINABALU, SABAH – Masalah teknikal melambatkan perjalanan projek Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) tetapi Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk menjadikannya sebuah realiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa penjualan kredit karbon akan memberi impak manfaat kepada negeri Sabah khususnya dari sudut keuntungan negeri.

“Belum lagi, kami masih berunding,” katanya ketika ditanya wartawan sama ada perjanjian itu terbatal.

Pada Ogos, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu dan Pengurusan NCA berkata perjanjian dengan Hoch Standard Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura akan diteruskan.

“Tetapi kita mesti mengikut peraturan… masih ada teknikal yang perlu dilaksanakan dan dipenuhi dari pihak kita,” tambah Hajiji.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2023 yang diadakan di ITCC di Penampang pada Jumaat.

Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan upacara memotong kek sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas GRS 2023 & Tahun Baharu 2024 di ITCC Penampang (Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah)

Sementara itu, Hajiji yang merupakan Pengerusi GRS, mengalu-alukan kenyataan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick baru-baru ini yang membayangkan penyatuan parti-parti tempatan.

Ewon yang turut menghadiri majlis itu berkata demikian semasa rumah terbuka Krismasnya sendiri sambil mendoakan yang terbaik dalam penggabungan antara PBS dan STAR.

“Itu idea yang paling baik. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu di bawah satu wadah tempatan di samping melindungi kepentingan negara.

“Ianya penting untuk bersatu dan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat Sabah. Jangan kita terbawa-bawa dengan terlalu banyak berpolitik sehingga kita lupa keperluan asas rakyat,” kata Hajiji.

Mengenai acara itu, Hajiji berkata juga adalah penting untuk mengekalkan warisan unik Sabah iaitu suasana harmonis dalam masyarakat majmuk yang mana memberikan contoh kepada erti perpaduan.

“Meraikan perayaan yang berbeza bersama-sama adalah perkara biasa di Sabah. Malah ia diraikan bersama selama ratusan tahun oleh banyak generasi. Semoga anak cucu kita meneruskan tradisi ini,” katanya.