Pakar Sifatkan Tidak Wajar Harap Rakyat Kurangkan Permintaan Terhadap Barangan

Pakar Sifatkan Tidak Wajar Harap Rakyat Kurangkan Permintaan Terhadap Barangan

0
SHARE
Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali...

SHAH ALAM, SELANGOR – Pakar menyifatkan tindakan kerajaan yang mengharapkan golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan permintaan terhadap barangan sebagai langkah menangani kenaikan harga adalah tidak wajar.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menasihatkan pengguna untuk tidak membeli barangan dijual oleh peniaga yang melebihi daripada harga purata.

Memetik sumber Sinar Harian, Noor Azlan berpendapat kenaikan harga perlu dibendung dengan menurunkan permintaan adalah kenyataan yang ‘terlalu mudah’.

“Ia seolah-olah menggambarkan penurunan permintaan adalah antara penyelesaian kenaikan harga…

“Intervensi untuk meningkatkan keanjalan permintaan kumpulan berpendapatan rendah? Ini tidak betul dan tidak wajar.

“Dalam kes yang ekstrem, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga? Ini bukan penyelesaian!” katanya dalam kenyataan di laman media sosial Facebook, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Rafizi dalam satu sidang media berkata sekiranya pengguna tidak membeli produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia bakal memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Rafizi Ramli…

Noor Azlan yang juga merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) turut berkata Rafizi mencadangkan intervensi permintaan dilaksanakan tanpa memperincikan bentuk intervensi yang akan diambil.

“Ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai kenyataan ini. Sebaiknya pihak berkenaan lebih berhati-hati dan memahami secara menyeluruh dalam mengutarakan cadangan penyelesaian ke atas masalah ekonomi. Dapatkan pakar ekonomi yang betul…

“Kaji secara terperinci apakah punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukan ‘kesan-akibat’ kenaikan harga.

“Apakah faktor yang menyumbang pada kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini? Pastinya bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan, permintaan stabil dan tiada lonjakan akibat musim perayaan,” katanya.