Pastikan Agenda Pembangunan Dijayakan – Limus

Pastikan Agenda Pembangunan Dijayakan – Limus

0
SHARE
Limus
Sebastian (dia dari kanan) menerima naskah AOCP daripada Limus ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUALA PENYU, SABAH – Penjawat awam perlu mempamerkan kecemerlangan perkhidmatan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dijayakan, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury.

“Penjawat awam perlu mempamerkan kecemerlangan untuk memastikan agenda pembangunan dapat dijayakan seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dengan ini, saya berharap agar seluruh penjawat awam di daerah ini khususnya, supaya terus berusaha mempamerkan kecemerlangan dan daya usaha yang jitu lagi berkualiti tinggi demi memastikan agenda pembangunan dapat dijayakan seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” ujar beliau.

Mengenai sinergi di antara perkhidmatan awam, swasta dan pemimpin masyarakat, Limus yang juga ADUN Kuala Penyu berharap kerjasama serta hubungan baik dan perpaduan terus diperkukuhkan.

“Marilah kita raikan sambutan atau acara pada pagi ini, dengan semangat kekitaan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain demi memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dan kesatuan kita semua khususnya di daerah ini.

“Secara peribadi, saya sungguh gembira dan senang hati melihat kehadiran sebegini ramai penjawat awam dan swasta serta pemimpin masyarakat setempat, dalam majlis kita pada pagi ini.

“Justeru, barangkali sesuai dan bertepatan, saya mengambil ruang ini untuk mengajak kita semua, daripada penjawat awam sehingga kepada pemimpin masyarakat untuk sama-sama berganding bahu, bagi menjayakan agenda pembangunan yang kita rancangkan untuk kawasan Kuala Penyu.

“Selaku wakil rakyat, saya bersama-sama dengan Ahli Parlimen Beaufort, tentunya terus komited untuk membawa kemajuan dan pembangunan ke kawasan ini.

“Untuk menjayakan agenda pembangunan tersebut, kami memerlukan dukungan, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak termasuk penjawat awam dan pemimpin masyarakat setempat selaku wakil kami yang dekat dengan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Limus berucap demikian ketika merasmikan Majlis Perayaan Krismas 2023, Gong Xi Fa Chai 2024, Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penyampaian Hadiah Insentif Pemenang Pingat Sukan SAGA X, Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Pejabat Daerah Kuala Penyu, Majlis Daerah Kuala Penyu dan Pejabat Daerah Kecil Menumbok bagi semua Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok di Dewan Masyarakat Dato’ Shahbandar Makang, pada Selasa.

Pada majlis itu, Limus diiringi Pegawai Daerah Sebastian Ingkim menyampaikan APC kepada lima orang iaitu masing-masing dua orang dari Pejabat Daerah Kuala Penyu dan Majlis Daerah Kuala Penyu manakala seorang lagi dari Pejabat Daerah Kecil Menumbuk.

Turut disampaikan sijil dan hadiah insentif kepada 13 atlet yang menyumbang dua emas, lima perak dan enam gangsa dalam temasya Sukan SAGA X lalu.

Dalam pada itu, Limus juga melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi tahun 2023 – 2027 yang diketuai oleh Sebastian, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu John Genchit dan wakil Penolong Pegawai Daerah Menumbuk. — JABATAN PENERANGAN SABAH