TAWAU, SABAH – Percubaan lapan orang pendatang asing tanpa izin untuk menyusup kembali dalam Malaysia ditahan ketika baru mendarat bersama seorang agen tempatan dalam serbuan pukul 2.30 pagi tadi.
Radar CSS yang dikendalikan Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) mengesan bot laju yang tidak berdaftar dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan perkampungan rumah atas air Kampung Kurnia Jaya.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, agen penyeludup berusia 32 tahun manakala semua PATI tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka mendakwa baru pulang bercuti dari melawat keluarga di Indonesia dan masih bekerja tanpa permit sah di Malaysia.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa berusia 38 dan 53 tahun, tiga wanita dewasa berusia dari 30 hingga 52 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia 9 dan 11 tahun,” katanya.
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 3.15 pagi menggunakan sebuah kenderaaan tentera pacuan empat roda bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah manakala agen warganegara Malaysia tersebut ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.





