Patuhi SOP, Jangan Leka Dan Kawal Sebarang Perkumpulan

Patuhi SOP, Jangan Leka Dan Kawal Sebarang Perkumpulan

0
SHARE
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam...

BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyeru penduduk khasnya di kawasan Lumadan untuk terus patuh kepada ketetapan operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Ini berikutan dengan peningkatan statistik jangkitan Covid-19 di negeri ini sejak dua hari lepas…

Kelmarin, Beaufort antara daerah tersenarai dengan kluster baharu, berpunca daripada majlis perkahwinan seperti dinyatakan dalam kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga merupakan Jurucakap Covid-19 Sabah.

Kluster di DUN Lumadan berpunca daripada majlis perkahwinan, di mana tuan rumah telah menjemput ahli keluarga daripada luar daerah.

“Ini mengakibatkan kluster baharu di Kg Lubok dan Pekan Weston, Beaufort”, ujar Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd.

“Harapan saya ialah, mana-mana majlis yang akan dilangsungkan jangan lagi membuat jemputan ahli keluarga yang tinggal dari luar daerah, demi membendung penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Ruslan turut meminta semua penduduk Lumadan agar tidak leka dengan kelonggaran SOP yang telah diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya dari semasa ke semasa akan terus mengingatkan di peringkat kepimpinan kampung untuk terus memainkan peranan memantau dan memastikan penduduk Lumadan sentiasa patuh kepada SOP.

“Saya menegah mereka-mereka yang leka dengan pematuhan SOP,” katanya.

“Kenduri perkahwinan dan lain-lain perkumpulan harus dikawal selia oleh tuan rumah dan ahli keluarga yang hadir…

Janganlah tidak peka dengan perubahan kesihatan masing-masing.

“Jika sudah ada tanda-tanda seperti selsema, demam dan perubahan suhu badan, silalah dapatkan nasihat perubatan di klinik-klinik berhampiran, katanya lagi.

Ruslan juga menyatakan ketetapannya yang amat menyokong penuh semua usaha yang akan dibuat oleh Kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid -19.