PBM Disertai Dua Lagi Ahli Parlimen

PBM Disertai Dua Lagi Ahli Parlimen

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Dua lagi ahli parlimen telah disahkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) iaitu ahli parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar dan ahli parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar.

Perkara tersebut disahkan oleh Presiden Pengganti PBM, Zuraida Kamaruddin, selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertama PBM di ibu negara, hari ini.

PBM kini mempunyai enam ahli parlimen termasuk Zuraida (Ampang), Steven Choong (Tebrau), Larry Sng (Julau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu) selepas penyertaan dua ahli parlimen baru tersebut.

Lima daripada mereka memenangi kerusi di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu pada 2018 manakala Mohamaddin bertanding di bawah Parti Warisan (Warisan).

Zuraida dan Edmund Santhara meninggalkan PKR semasa ‘Langkah Sheraton’ untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.

Steven dan Sng pula sebelum ini mengumumkan keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Mohamaddin pula keluar dari Warisan tahun lepas dan mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum memutuskan untuk bersama PBM.