TERENGGANU – Sabah FC tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.
Walaupun dengan kekalahan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee masih kekal ditangga kedua dengan mengutip 36 mata.
Kemenangan bergaya itu selain kekalahan Negeri Sembilan membantu skuad Sang Penyu melonjak ke tangga ketiga dengan hanya satu mata ketinggalan di belakang Sabah.
Pada perlawanan itu, TFC bermula garang melalui percubaan deras Manuel Ott, namun ditepis keluar penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat untuk sepakan sudut kepada skuad Sang Penyu.
Namun, Petrus Shitembi dari TFC yang mengambil sepakan itu membuat umpanan menarik yang ditanduk kemas bek tengah, Pape Diakite bagi gol pembukaan TFC pada minit ketujuh.
Sabah FC berpeluang mengikat jaringan pada minit ke-12 menerusi hantaran leret Saddil Ramdani dari sebelah kanan, tetapi tolakan Mohd. Irfan Fazail dinafikan penjaga gol TFC.
Penyokong tuan rumah yang hadir hampir 12,000 peminat itu sekali lagi bersoral gembiran apabila TFC berjaya menambah gol kedua menerusi pemain pinjaman dari Selangor, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-30 berpunca hantaran silang Faisal Halim.
Kedua-dua pasukan kemudian saling bertukar serangan dengan tandukan Park Taesu (m-52) ditepis sebelum bola tolakan Kipre Tchetche (m-54) dikeluarkan Dominic Tan di atas garisan.
Nasib malang menimpa pasukan pelawat yang kekurangan seorang pemain gara-gara kad kuning kedua kepada Mohd. Rizal Ghazali yang mengasari Hakimi Abdullah ketika permainan berbaki 14 minit.





