Pekerja Kilang Papan Cetus Kluster Baharu Di Sandakan

Pekerja Kilang Papan Cetus Kluster Baharu Di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Semawang di Sandakan yang dikesan semalam merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan pekerja sebuah kilang papan.

Kes indeks merupakan pekerja lelaki, 40 tahun, yang tinggal di kuarters premis tersebut.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lelaki tersebut di antara 10 kes positif yang disahkan sebuah klinik swasta pada 19 Ogos.

“Beliau bukan warganegara yang dikesan positif COVID-19 dalam saringan pekerjaan…

“Pada 27 Ogos 2021, tiga (3) lagi kes baharu dikesan di lokaliti sama.

“Oleh itu, pengurus kilang telah membuat saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos dan mendapati 103 orang pekerjanya disahkan positif,” jelasnya.

Setakat semalam, kluster itu merekodkan 116 kes positif termasuk 103 kes baharu.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 04 September 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Dalam pada itu Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di daerah Kota Kinabalu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 6 September hingga 19 September.

Pada Khamis, satu kluster, ‘Kluster Pahlawan’ dikenal pasti pada PULAPOL tersebut yang berpunca dalam kalangan pelatih konstabel polis yang mencatat 45 kes positif.

Selain dari itu, sebanyak 55 kes kematian disebabkan oleh COVID0-19 dilaporkan semalam iaitu 12 kes di Tuaran, 10 kes di Kota Kinabalu, tujuh (7) kes di Tawau, enam (6) kes di Sandakan, empat (4) kes di Lahad Datu, tiga (3) kes di Penampang, Putatan, Keningau, Beluran dan Papar masing-masing mencatatkan dua (2) kes manakala satu (1) kes di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan.