
KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkongsi bahawa terdapat potensi besar untuk melabur dalam tenaga lestari di Sabah selepas bertemu dengan beberapa duta negara.
Phoong berkata demikian selepas bertemu dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, Duta Besar Sweden ke Malaysia Joachim Bergström dan juga Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia Dr Justin Lee pada Sabtu.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
“Pertemuan itu membuahkan hasil kerana para duta berkongsi kepada kita bahawa Sabah mempunyai potensi besar dalam membangunkan loji janakuasa mampan kerana selain membekalkan tenaga ianya juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Saya juga mengambil kesempatan untuk menjemput Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi melawat Sabah bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara itu serta juga memperkenalkan pelabur berpotensi yang boleh membantu negeri membangunkan loji janakuasa tenaga hijaunya,” katanya.
Phoong turut mempengerusikan bersama mesyuarat meja bulat bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Ini adalah mesyuarat meja bulat antara agensi utama kedua yang saya pengerusi sejak saya mengangkat sumpah sebagai menteri.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Menteri MITI kerana menganjurkan mesyuarat meja bulat untuk membincangkan bagaimana Sabah boleh melompat dalam pembangunan perindustrian,” tambahnya.
Mesyuarat meja bulat itu tertumpu kepada mencari sumber tenaga alternatif bagi permintaan yang semakin meningkat untuk kegunaan industri Sabah.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah, Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid.
Phoong mengakui permintaan yang meningkat terhadap bekalan kuasa dan menggesa agensi membantu Sabah dalam merancang lebih awal bagi rancangan pembangunan perindustriannya pada masa hadapan.
Menteri juga mengadakan lawatan ke acara ulang tahun ke-10 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) untuk melihat modul taman perindustrian dan potensinya di Sabah.
Turut menghadiri lawatan kerja itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Politik kepada Menteri Chan Loong Wei dan wakil dari tiga taman perindustrian di Sabah.





