PELAJAR VOKASIONAL LAHAD DATU MAUT DIBELASAH, 13 DITAHAN BANTU SIASATAN

PELAJAR VOKASIONAL LAHAD DATU MAUT DIBELASAH, 13 DITAHAN BANTU SIASATAN

0
SHARE
Nazmie
Pelajar kolej vokasional yang ditemukan maut di asrama, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

LAHAD DATU, SABAH – Seorang pelajar lelaki, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional, di sini pagi tadi.

Memetik sumber Bernama, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas satu alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rohan Shah pihaknya bertindak atas laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan berhubung penemuan pelajar lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.50 pagi, dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memberikan rawatan kecemasan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci secara telus,” katanya.