Pelajar Wajib Senyum, Dilarang Ke Tandas Ketika Sesi Pembelajaran Antara Peraturan Baharu...

Pelajar Wajib Senyum, Dilarang Ke Tandas Ketika Sesi Pembelajaran Antara Peraturan Baharu Sekolah Di Britain

0
SHARE
Natalie Teece, Pengetua Kolej John Ferneley mewajibkan pelajar senyum dan melarang pelajar ke tandas ketika sesi pembelajaran di sekolah...

LONDON – Murid wajib senyum ketika berada di sekolah dan perlu meminta kebenaran untuk mengutip pen antara peraturan baharu yang dibuat oleh seorang pengetua di sebuah sekolah di Britain.

Ekoran daripada peraturan ‘tidak logik’ di sekolah itu, portal berita tempatan Mirror.co melaporkan para ibu bapa kepada pelajar di sekolah itu menyelar tindakan pengetua sekolah berkenaan.

Peraturan yang disifatkan seperti ‘kem penjara’ itu bakal dilaksanakan oleh pengetua baharu Kolej John Ferneley di Leicestershire, Natalie Teece untuk sesi persekolahan bermula September ini.

Selain daripada itu, antara peraturan lain yang bakal dilaksanakan adalah pelajar perlu memberi tindak balas kepada arahan menggunakan wisel yang diberikan oleh guru serta dilarang menggunakan tandas ketika sesi pembelajaran.

Murid juga perlu duduk dalam keadaan menegak di dalam bilik darjah, sentiasa memanggil guru ‘Tuan’ atau ‘Cik’ dan diwajibkan mengucapkan ‘terima kasih cikgu kerana mengajar’.

Sementara itu, peraturan baharu itu turut MELARANG pelajar  berjalan dalam kumpulan melebihi dua orang, melihat ke luar tingkap ketika di dalam kelas dan mengalihkan pandangan ketika terdengar bunyi bising.

Ibu bapa murid yang yang tidak berpuas hati dengan peraturan itu meluahkan perasaan marah di media sosial dan ada di antara mereka menyamakan Teece seperti watak Dolores Umbridge dalam filem ‘Harry Potter’ atau Miss Trunchbull daripada filem ‘Matilda’.

“Ini amat mengarut. Saya bersetuju dengan beberapa perkara seperti memberikan penghormatan, namun peraturan lain seolah-olah peraturan di penjara…

“Pihak sekolah perlu ingat bahawa kita masih dalam fasa pandemik dan dunia dalam keadaan kucar-kacir. 

“Ramai kanak-kanak mengalami tekanan mental sekarang dan peraturan sedemikian akan memberi tekanan kepada mereka,” tulis seorang bapa di laman media sosial Facebook.

Walau bagaimanapun, Teece yang menerima kecaman itu berkata, semua peraturan yang dibuat adalah untuk membantu dan menyokong pelajar kami bersiap sedia menghadapi kehidupan pada masa akan datang.

“Kami sentiasa menghargai maklum balas pelajar dan ibu bapa, namun saya yakin semua peraturan baharu itu akan membantu meningkatkan pencapaian cemerlang sekolah ini,” katanya.