KUDAT, SABAH – Pemandu sebuah Proton Iriz cedera selepas kenderaan itu terjunam ke dalam parit di Jalan Tamalang, sini, hari ini.
Sepasukan sembilan anggota bomba daerah bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.25 pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa lelaki berusia 42 tahun terbabit dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital dengan menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di kawasan kemalangan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain berlaku,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Operasi di lokasi kira-kira 13 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kudat tamat sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari.