KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan keputusan Putrajaya memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas ke Sabah sebagai satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam mengalu-alukan keputusan itu, beliau berkata ianya sentiasa menjadi aspirasi Sabah dan rakyat.
“Kerajaan Negeri sentiasa gigih dalam usaha kita untuk mengawal dan mengurus sumber minyak dan gas negeri,” katanya…
Ketua Menteri berkata beliau telah membangkitkan keperluan untuk memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan itu hari ini berkata tarikh pelaksanaan pemindahan itu akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Atas perkenan Yang di-Pertuan Agung, Dewan Undangan Negeri akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-undang Negeri Sabah bagi pembekalan gas, dan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa pengawalseliaan untuk bekalan gas darat (regasifikasi, penghantaran, pengedaran , penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di Sabah berkuat kuasa serta merta.