KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api mencadangkan penubuhan “One-Stop Centre Pendidikan dan TVET Pemuda Api-Api” sebagai langkah strategik memperkasakan belia menerusi pendidikan dan latihan kemahiran.
Usul yang dibentangkan oleh Penolong Setiausaha Pemuda Gagasan Rakyat Api-Api, Ricky Lim Vui Sin dalam Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat Api-Api di sini, baru-baru ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dalam kalangan belia Sabah.
Menurut Ricky, pusat ini akan berperanan sebagai hab maklumat dan bimbingan pendidikan kepada belia, meliputi kaunseling pendidikan dan kerjaya, direktori institusi pengajian dan pusat TVET, serta bantuan dalam permohonan biasiswa, pinjaman pendidikan dan geran latihan kemahiran.
“Pemuda adalah aset masa depan negara. Kita mesti memastikan mereka memiliki ilmu, kemahiran, dan hala tuju jelas dalam pendidikan dan kerjaya agar mampu bersaing dalam dunia global yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerjasama strategik bersama institusi pengajian, agensi kerajaan dan alumni untuk memberi bimbingan secara langsung melalui taklimat dan sesi mentor belia.
Antara cadangan tambahan termasuk, penawaran biasiswa khusus untuk belia di kawasan Api-Api melalui dana khas atau kuota daripada agensi kerajaan dan sektor swasta, selain fokus kepada kelayakan profesional seperti ACCA, ICAEW, CIMA, Chartered Logistics dan Chartered Marketing, memandangkan kadar penyertaan Bumiputera Sabah dalam bidang ini masih di bawah 10 peratus.
Menurut Ricky, Sabah masih bergantung kepada tenaga profesional dari luar khususnya dalam bidang perakaunan dan pemasaran akibat kekurangan bakat tempatan yang berkelayakan.
“Usul ini bukan semata-mata menyentuh soal akademik, tetapi merupakan usaha untuk melahirkan pencipta nilai dalam ekonomi Sabah kerana ia adalah langkah jangka panjang untuk menangani isu pengangguran dan meningkatkan daya saing belia tempatan,” tegas beliau.
Beliau pada masa sama turut menyeru agar bahagian lain turut mengangkat agenda pendidikan dan TVET sebagai teras utama pembangunan belia, menjadikan Pemuda Api-Api sebagai model perubahan yang inklusif dan progresif.






